PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini, sudah mengeluar tiga waran tangkap terhadap vokalis kumpulan OAG Radhi Razali kerana gagal hadir mahkamah berhubung kes pengesahan perceraian dengan isterinya, Shazlin Sharif.
Hakim Syarie Ghazali Ahmad semalam mengeluarkan waran tangkap ketiga ke atas Radhi, 32, kerana tidak hadir ke mahkamah tanpa sebarang alasan munasabah bagi mendengar perbicaraan kes yang difailkan Shazlin, 31, mengenai permohonan pengesahan perceraian kali kedua, pada 25 Februari lalu.
Radhi yang tidak pernah diwakili peguam, sebelum ini pernah menerima dua waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah sama untuk kes pengesahan perceraian pertama yang dilafaz pada 15 September 2008.
Peguam plaintif, Rubiah Jaafar memberitahu mahkamah pihaknya sudah memaklumkan kepada defendan berhubung perbicaraan itu tetapi tiada sebarang jawapan daripada Radhi.
Dalam perbicaraan semalam, Shazlin memberitahu mahkamah beliau yakin suara yang melafazkan talak tiga terhadapnya menerusi telefon pada Februari lalu adalah suara Radhi.
Katanya, beliau mendengar dengan jelas kata-kata Radhi ketika melafazkan talak berbunyi, `aku ceraikan kau dengan talak tiga terus' pada 25 Februari lalu selepas bertengkar menerusi telefon.
Shazlin berkata, defendan ketika melafazkan cerai talak tiga berada dalam keadaan waras yang mana tidak seperti dipaksa atau diugut pihak ketiga.
Beliau berkata, selepas kejadian itu mereka ada berbalas mesej dan defendan menyatakan bahawa defendan memang berniat untuk menceraikannya buat kali kedua dengan talak tiga.
"Radhi ada beritahu saya dalam mesej bahawa dia tidak bermaksud untuk menceraikan saya ketika melafazkan talak kali pertama pada 15 September 2008 tetapi bagi lafaz kali kedua, beliau mempunyai niat untuk melafazkan," katanya.
Pada 27 Julai lalu, mahkamah menolak lafaz cerai Radhi terhadap isterinya selepas penyanyi berkenaan bersumpah menafikan dakwaan lafaz 'Oklah, I ceraikan you talak 3,2,1?' yang dikemukakan oleh Shazlin dalam permohonan cerai.
Mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung 1 Disember depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan