Rabu, November 04, 2009

35 tuduhan rasuah

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abd Rahman Bakri dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Yap Soo Sun serta dua pembantu mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap 30 tuduhan membuat tuntutan palsu antara Januari dan Februari tahun lalu.

Turut didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan, pegawai peribadi Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu, Wong Chuan How dan bekas pegawai tugas khas Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri. Masing-masing menghadapi tiga dan dua tuduhan salah guna kuasa dan memalsukan dokumen.

Abd Rahman, 44, yang juga Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam menghadapi lapan tuduhan mengemukakan butiran palsu untuk tuntutan berjumlah RM80,000 ketika menjadi Adun Sungai Air Tawar.

Bagi tuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa mengemukakan butiran palsu dalam tiga surat Adun membabitkan peruntukan RM10,000 setiap satu, bagi membeli hadiah, cenderamata dan mengadakan jamuan program motivasi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta meraikan pelajar cemerlang peringkat DUN Sungai Air Tawar.

Beliau juga didakwa mengemukakan butiran palsu dalam dua surat Adun membabitkan peruntukan RM10,000 setiap satu, bagi Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga serta Forum Perdana Peringkat Mukim DUN Sungai Air Tawar.

Bagi tuduhan keenam hingga kelapan, dia didakwa mengemukakan butiran palsu dalam tiga surat Adun membabitkan RM10,000 setiap satu untuk Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi; membeli hadiah, cenderamata dan mengadakan jamuan Program Motivasi UPSR serta membeli hadiah, cenderamata dan mengadakan jamuan Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Guru Kemas Peringkat DUN Sungai Air Tawar.

Semua lapan program itu bagaimanapun tidak pernah diadakan.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam.

Hakim Syafeera Mohd Said memerintahkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan bermula 25 April sehingga 7 Mei 2010.

Pendakwaan dilakukan Ketua Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa.

Di mahkamah berasingan, pembantu tadbir Abdul Rahman, Rosli Busro, 41, didakwa bagi lapan tuduhan bersubahat dengan Abdul Rahman untuk membuat tuntutan palsu itu.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkannya dijamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Di mahkamah sama, Yap, 43, menghadapi tujuh tuduhan mengemukakan permohonan peruntukan Adun mengandungi butiran palsu membabitkan RM70,000 untuk program mesra rakyat, sambutan Thaipusam dan Tahun Baru Cina.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Hulu Langat pada 19 Januari dan 4 Februari 2008. Semua program itu bagaimanapun tidak pernah diadakan.

Mat Ghani menetapkan 3 hingga 7 Mei tahun depan untuk perbicaraan kes bersama-sama dengan pembantunya, Mohd Firdaus Abu Zarin, 41.

Terdahulu, Mohd Firdaus didakwa di mahkamah berasingan dengan tujuh pertuduhan bersubahat dengan Yap melakukan kesalahan itu.

Bekas Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri, 43, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, terhadap dua tuduhan memalsukan dokumen dan menipu membabitkan peruntukan bernilai RM50,000, tahun lalu.

Bagi tuduhan pertama, dia sebagai Pengarah Program Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat didakwa menipu Pengerusi Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Datuk Karim Munisar, 59, dengan memperdayakannya bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) memohon sumbangan bagi program itu sehingga mangsa menyerahkan RM50,000 kepadanya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan melakukan kesalahan itu di Gardenia Coffee House, Hotel Quality di sini, antara 1 dan 3 petang, 4 Jun 2008.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menggunakan dokumen palsu 'Resolusi Pembukaan Akaun Parti Keadilan Rakyat Selangor' sebagai tulen di Maybank Bandar Sunway.

Dia dijamin RM10,000 dan perbicaraan kesnya ditetapkan 19 hingga 23 April depan.

Di mahkamah sama, Wong, 50, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan dan satu tuduhan pilihan memberikan butiran palsu borang peruntukan Exco, pecah amanah RM5,000 serta menyalahgunakan harta.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa memalsukan borang peruntukan Exco dengan melampirkan invois RM2,500 bagi membekalkan 2,500 bendera dan diserahkan kepada Pembantu Tadbir Kewangan Pejabat Daerah Sepang, K Mohana bagi memperdayakannya.

Tuduhan kedua, Wong didakwa melakukan pecah amanah sekeping cek RM5,000 iaitu wang untuk menganjurkan Perjumpaan Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) DUN Sungai Pelek manakala pertuduhan pilihan menyalahgunakan cek itu.

Syafeera memerintahkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 29 Mac hingga 2 April dan 12 April hingga 16 April 2010 bagi perbicaraan.

Wong juga didakwa di hadapan Mat Ghani melakukan pecah amanah terhadap sekeping cek CIMB Salak Tinggi bernombor 580438 bertarikh 30 Julai 2008, bernilai RM2,500.

Cek itu adalah wang peruntukan untuk program gotong-royong dan ramah mesra di Kampung Baru Langat, Sungai Pelek.

Tiada ulasan: